HomeBeritaAktiviti Penerimaan Dan Pemunggahan Kargo Barangan Import ‘Non-Essential’ Bagi Tujuan Eksport Dan...

Aktiviti Penerimaan Dan Pemunggahan Kargo Barangan Import ‘Non-Essential’ Bagi Tujuan Eksport Dan Import Dibenarkan Di Kawasan PKPD

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) komited dalam memastikan kapasiti gudang dan pelabuhan di seluruh negara tidak terjejas sehingga membantutkan rantaian ekonomi ketika berdepan cabaran akibat pandemik COVID-19 serta membantu para pemain industri dapat menjalankan pengoperasian mereka dengan selamat dan cekap.

MOT mengalu-alukan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 13 Julai 2021 yang membenarkan semua aktiviti pengendalian, penerimaan, pemunggahan untuk ‘loading’ dan ‘unloading’ barangan import ‘non-essential’ bagi tujuan import dan eksport di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kebenaran khas ini diberikan bermula 15 Julai sehingga 17 Julai 2021 (Khamis – Sabtu) bagi mengurangkan kesesakan di pelabuhan-pelabuhan seluruh negara yang ada daripadanya telah mencapai kapasiti 80%. Manakala aktiviti ‘loading’ dan ‘unloading’ pula dibenarkan pada hari Isnin, Rabu, dan Jumaat mengikut prosedur operasi standard (SOP) MKN sedia ada.

MOT akan terus memantau perkembangan di pelabuhan dan lapangan terbang dari semasa ke semasa untuk memastikan barangan dan kargo dapat terus berjalan dengan selamat mengikut SOP ketat pencegahan COVID-19 seperti yang ditetapkan oleh MKN. Ini amat penting bagi tempat yang sibuk seperti Pelabuhan Klang supaya dapat mengekalkan pengoperasian yang cekap dan mengelakkan berlakunya kesesakan akibat kepadatan kargo sepanjang tempoh PKPD. Langkah ini juga diharapkan dapat membantu pemain industri mengurangkan kos penyimpanan yang tinggi.

Syarikat-syarikat dalam industri yang terlibat mesti mematuhi syarat-syarat seperti berikut:

1. SOP Pengangkutan dan Logistik bagi tempoh PKP yang dikemaskini pada 15 Jun 2021.

2. Semua protokol penjagaan kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk pemeriksaan suhu badan, mengimbas kod QR menerusi aplikasi MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, menggunakan cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup separuh muka.

3. Tidak membenarkan individu di bawah pemantauan (PUS) atau mereka yang dikenakan kuarantin untuk mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti yang dibenarkan.

 

PROSEDUR:

Pengeksport, pengimport, dan pengendali gudang boleh mendapatkan kebenaran polis di balai terdekat bersama dokumen yang berkaitan dengan operasi kargo mereka sebagai bukti (seperti invois, bil muatan, senarai pembungkusan, dan lain-lain yang berkaitan) beserta senarai nama pekerja yang terlibat dalam melakukan aktiviti tersebut.

Kebenaran daripada pihak polis ini boleh digunakan sebagai kebenaran perjalanan di sekatan jalan raya (SJR) dan perlu ditunjukkan kepada anggota penguatkuasa semasa melakukan aktiviti di premis syarikat.

Kebenaran khas ini tidak berkaitan dengan panduan sedia ada mengenai ‘loading’ dan ‘unloading’ barangan ‘essential’ dan kargo.

 

PEMATUHAN SOP PENCEGAHAN COVID-19

MOT akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa untuk memastikan pergerakan barangan dan kargo tidak terbantut demi manfaat pengguna sebagai destinasi akhir.

Semua kakitangan diingatkan supaya sentiasa menjaga penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu (1) meter selagi diperlukan, mengurangkan interaksi, dan menggunakan transaksi tanpa sentuhan selagi boleh. Semua SOP lain yang diperlukan mesti dipatuhi dengan ketat termasuk penggunaan cecair pembasmi kuman, memakai peralatan pelindung diri (PPE) yang sesuai, dan mengimbas kod QR MySejahtera.

DATUK SERI IR DR WEE KA SIONG

14 Julai 2021

RELATED ARTICLES

Most Popular

Recent Comments